Wednesday, January 8, 2014

NAJIS KHINZIR

Seseorang bimbang bekas atau pakaiannya terkena najis khinzir. Apakah yang harus dilakukannya?

Jawapan: Pertama; kita tidak patut mengandaikan perkara yang kita tidak nampak. Sekadar rasa macam terkena belum wajib untuk dicuci. Jika dia ingin mencuci kerana sangkaan itu, itu pilihan sendiri.
Kedua; pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah hanya pendapat mazhab. Sedangkan majoriti ulama berpendapat memadai dibasuh dengan air sehingga hilang kesan tanpa memerlukan tanah. Apa yang penting hilang kesannya. Tiada dalil pun yang menyatakan khinzir wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan termasuk air tanah. Apa yang ada dalil wajib basuh jilatan anjing sebanyak tujuh kali dan satunya dari air tanah. Mazhab al-Imam al-Syafii mengkiaskan babi seperti anjing dalam hal ini.

Namun pendapat yang menyatakan khinzir dibasuh seperti najis lain bukan seperti anjing, iaitu tidak memerlukan air tanah, hanya memadai sehingga hilang kesan sahaja, pendapat ini disokong oleh tokoh besar Mazhab al-Syafi’i sendiri –walaupun ini berbeza dengan mazhabnya- iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab tersebut.

Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i (meninggal 780H): “Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam Mazhab al-Syafi’i. Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak”. (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga memudahkan kita berurusan dalam hidup terutama bagi yang makan di hotel, kapalterbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan muslim.

Dr MAZA

No comments:

 
Happy Cat Kaoani